Mari Kenali Tokoh Ilmuan Islam: Ustaz Fathi Yakan (1933-2009)
Pemergian Syeikh Fathi
Yakan sememangnya meninggalkan bekas yang mendalam di hati-hati umat Islam
seluruh dunia. Kehadirannya adalah sebuah kurniaan besar dari Allah, dan
pemergiannya yang tidak disangka juga adalah fitrah kehidupan yang telah Allah
tetapkan. Semua jiwa-jiwa yang telah dipinjamkan akan menemui Tuhannya.
Tidak ada seorang pun
yang akan terselamat, walaupun dibina tembok yang tinggi, mempunyai doktor yang
hebat dan membina dinding kukuh berisi besi. Jika ajal telah tiba, tidak akan
sesekali Allah lewatkan atau percepatkan. Firman Allah, “Tiap-tiap umat
mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat
mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukannya.”
(Al-A’raf:34)
Lubnan atau lebih tepat
lagi Tripoli pasti menangisi pemergian tokoh ini. Di sinilah tempat beliau
dilahirkan pada tanggal 9 Februari 1933. Tokoh ini tidak asing dalam dunia
pergerakan islam, lebih-lebih lagi bagi Ikhwan Muslimin. Pengaruh
tulisan-tulisannya telah menular dan meresap jauh ke dalam hati-hati umat Islam
tentang peri-pentingnya dakwah islamiah dalam kehidupan seharian. Malahan
tulisan-tulisan beliau bukan sahaja dapat di baca dalam bahasa Arab, tetapi
telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa, termasuklah bahasa Malaysia.
Bukunya yang mashur iaitu “maza ya'ni intimai Ila Islam” (Apakah Ertinya saya
menganut agama Islam) telah dijadikan silibus Usrah oleh kebanyakkan
pertubuhan-pertubuhan Islam.
Beliau dikenali sebagai
insan yang bukan sekadar berteori semata, tetapi melaksanakan apa yang dikata.
Kehadirannya di tengah-tengah masyarakat dalam menyampaikan risalah-risalah
Islam dalam kuliah-kuliah di masjid dan pelbagai tempat, menambahkan lagi
ketokohan beliau di mata masyarakat. Seperti kebanyakan tokoh-tokoh gerakan
Islam yang lain, beliau juga tidak terlepas dari dipenjarakan. Tulisan dan
penglibatan beliau dalam gerakan Islam dianggap mengancam kedudukan dan
memerbahayakan pemerintahan. Atas alasan itu beliau telah dipenjarakan, malahan
beliau turut diseksa dengan pelbagai cara.
Tetapi dugaan dan cubaan
itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk menyebarkan risalah Tauhid dan
mengembalikan kegemilangan Islam di seluruh dunia. Cubaan itu hanyalah secebis
ujian yang Allah berikan kepada beliau. Malahan ujian itu dianggap sebagai
penanda aras sejauh mana imannya kepada Allah. Selaras dengan firman Allah yang
bermaksud, “Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum
datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu?
Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan
bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman
bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah,
sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (al-Baqarah:214)
“Apakah yang diperbuat
musuh padaku!.. Aku, terpenjaraku adalah khalwat. Kematianku adalah mati
syahid. Terusirku dari negeriku adalah rekreasi.” Ucapan Syeikhul Islam Ibnu
Taimiyah ini sesuai untuk ditujukan kepada tokoh seperti Syeikh Fathi Yakan.
Kehidupannya dipenjara tidak disia-siakan begitu sahaja. Jika Syed Qutb
menghasilkan Tafsir Fi Zilalil Qur’an di penjara, begitu juga dengan HAMKA
dengan tafsir Al-Azhar, maka beliau juga turut menghasilkan tulisan-tulisan
ketika mendekam di dalam penjara. Namun tulisan-tulisannya disasarkan khusus
untuk para pemuda dan pemudi Islam. Beliau berkeyakinan bahawa para pemuda dan
pemudi Islam adalah asset Islam yang harus dikejutkan dimotivasikan dengan
semangat dan nilai-nilai Islam.
Kata Syeikh Fathi Yakan
ketika membicarakan tentang para pemuda dan pemudi ini. Katanya, “Pemuda ialah
sebuah tenaga yang digunakan oleh Islam untuk membangunkan dan memakmurkan
alam. Tetapi orang lain telah mempergunakan mereka untuk meruntuhkan umat
manusia. Sesungguhnya manusia hari ini penuh sesak dengan pemuda dan pemudi
tetapi mereka ini hanyalah kosong, hanyut dan terbiar.”
Sehingga akhir hayatnya,
beliau tetap berkeyakinan bahawa para pemuda dan pemudi Islam adalah agen
perubahan kepada Daulah Islamiyah. Tokoh yang mempunyai kelulusan Master dalam
bidang Kejureteraan dan Dokterat dalam bidang Pengajian Islam dan bahasa Arab
ini akhirnya pergi menghadap Illahi pada tanggal 13 Jun 2009. Sesungguhnya
permergian beliau bagaikan kehilangan sebutir mutiara di dasar lautan. Moga
Allah menempatkannya di kalangan orang-orang yang beriman dan mendapat syurga
Firdaus.
Benarlah apa yang
disabdakan oleh Rasulullah, bahawa Allah tidak akan sesekali menghilangkan ilmu
pengetahuan sekaligus dari dada-dada manusia, tetapi mematikan para alim-ulama’.
Dari Abdullah bin ‘Ash r.a. berkata, “Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda ;
“Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan
sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan
mematikan alim-ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai
akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila
pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan.
Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.” (Hadis direkodkan Imam Muslim)
Artikel asal dari haluan.org.com
No comments:
Post a Comment